Mar 05 2012
55 – Maya di minda II
Fez lama melengu di hadapan komputer ribanya. Sambil bersandarkan bantal, di atas katil Zayn, dia diam melihat apa yang boleh dilihat.
Dinding. Siling. Tingkap. Rak buku. Almari baju. Tuala yang tersidai di atas pemanas. Kasut-kasut yang tidak teratur di hujung bilik. Meja dan kerusi. Buku-buku yang tersusun rapi di atas meja. Komputer riba milik Zayn yang terpasang. Tetikus yang berada di sebelah kanan komputer. Mug bekas minum air teh tadi. Coklat Kit Kat di sebelah kiri komputer.
Tapi bukan itu yang Fez fikirkan.
Dia cuma tertanya sendiri.
Apa rasa hati yang dia sedang rasa buat masa ini. Bukan. Bukan buat masa ini. Sejak tadi. Sejak tengah hari tadi bila dia lihat Maya dengan cara berbeza.
Dan dirinya benar-benar keliru. Liyana itu cerita biasa. Jatuh hati kerana terpandang pada cantik rupanya. Maya ini bukan sebegitu.
Fez tidak tahu kenapa dia rasa gusar di jiwa. Mungkin kerana dia benar-benar suka pada Maya. Mungkin juga kerana dia turut tahu yang berapa susah untuk buat mereka bersatu.
“Kau ingat tak zaman belia?”
“Belia? Kau ni kalau tetiba bermadah….”
“Ya lah, maksud aku, time kita first year, second year dulu kat Malaysia….”
“Apa?”
“Cinta ini macam … biar gunung berapi pun sanggup didaki…”
“I actually miss your sense of romance, bro!” Sambil disambut dengan tawa.
“Ya lah, zaman dulu, kalau aku suka any particular girl…”
Dipintas dengan “… Maksud kau Anis?”
“Yeah yeah,” sambil berdengus sedikit lalu menyambung, “sanggup aku buat apa saja tau.”
“Sekarang?”
“Entah… kalau aku minat mana-mana gadis pun…”
Dipintas lagi “…Maksud kau Liyana?”
Berdengus lagi. “Ya. Sepuluh kali aku fikir sama ada aku sanggup kahwin dengan dia, sama ada family dia akan suka aku. Sama ada mak aku akan suka dia. Sama ada dia akan ikut aku balik, atau duduk sini Semua benda lah…”
“Liyana balik akhir tahun ni….”
“Dia terikat dengan mana-mana company tak? Dia scholarship kah?”
“Oh, I got what you mean now…”
“Yea, that kind of thing. It’s not like ‘I go wherever you will go’”
“Ah… lagu tu…”
“Ha ah.”
“Jangan paksa bro. Cinta takleh dipaksa. Biar saja.”
“Really?”
“Kalau kau fikir dah benda-benda macam tu, sampai bila pun kau tak mula.”
“Hmm….” Fez bersetuju dalam diam.
Fez teringat kembali perbualannya dengan Zayn semalam. Tapi itu hal Liyana. Mungkin ini juga sama? Entahlah.
Fez mencapai telefon bimbit.
“Maya, you wanna go out for coffee… or I meant tea, later today?” Cepat dan pantas Fez hantar mesej tersebut. Tidak boleh dibiar lambat risau nanti timbul rasa ragu-ragu, sampai ke sudah mesej itu tidak dihantar.
Fez terus keliru. Maya sudah pun beritahu dalam bual mereka yang dia bercadang untuk berkerja di sini sesudah habis belajar. Mungkin itu buat Fez rasa tersekat sedikit untuk buat keputusan. Tapi rasa hati ini, rasa yang timbul bukan kerana hanya pandangan mata ini, memang jarang sekali datang. Ya. Entah berapa lama sejak dia rasa begini….
Mungkin dia perlu beri dirinya peluang?
Fez tolak komputer ribanya ke tepi, sekadar cukup-cukup supaya tidak jatuh dari katil, dan dia berbaring sambil lengannya memberatkan dahi. Keliru. Cinta itu perlu rasa kelirukah? Tapi kalau tiada apa-apa rasa pada Maya, pasti dia tidak perlu memberatkan kepala sejak tadi … itu logik Fez di kepala.
Apa yang kau rasa sebenarnya Fez? Biasa saja dia bertemu wanita-wanita cantik di mana-mana, tapi jarang sekali dia rasa suka. Anis itu cantik. Liyana itu lawa. Maya ini manis. Tapi Maya buat dia rasa sesuatu yang berbeza. Satu rasa lain yang dia mahu teroka. Satu rasa yang punya seribu impian di hadapan mata.
Fez, kau ni kalau sedang jiwa-jiwa, memang penuh drama. Muntah orang lain yang tak bercinta mendengarnya, kata Fez dalam hati sambil cuba kembali ke realiti.
Dan realiti masa kini, perut Fez tiba-tiba berbunyi. Fez melihat ke arah jam di atas meja Zayn. Ah, sudah hampir satu jam rupanya dia biar minda terbang di awangan, yang jasad sedang berbaringan di atas katil sambil melayan perasaan. Fez melihat ke arah telefon bimbit, menekan bebutang melihat jika ada mesej masuk. Baru 5 minit dia hantar.
Mungkin Maya tidak sudi? Ah, tak apalah.
Fez masuk ke dalam dapur di blok bangunan Zayn. Dapur ini dikongsi dengan 5 orang pelajar lain tapi kosong sahaja sekarang. Fez buka pintu peti ais dan dia ambil susu. Dia letakkan telefon bimbit di atas kabinet dapur dan dia pasang lagu. Dia panaskan air di dalam cerek elektrik, mahu buat air teh. Kemudian dia buka pintu almari yang tersimpan barang makanan Zayn dan ambil bijirin sarapan dari kotak. Tunggu dia sekejap sementara air hendak masak. Uncang teh dan gula sudah dia masukkan ke dalam mug.
Fez kembali ke bilik Zayn dengan mangkuk berisi bijirin sarapan dan susu, juga mug berisi air teh. Juga sudu besar untuk bijirin. Fez duduk sambil dia tengok sekali lagi pada telefon bimbit. Sudah 10 minit berlalu dan masih tidak ada balasan dari Maya. Ah, mungkin dia sahaja yang berfikiran lebih? Maya tidak peduli pun sebenarnya, sedang dirinya sahaja yang sudah mula merangka masa depan. Impian konon…
Inilah masalahnya perasaan. Tidak ada apa-apa sudah boleh buat jiwa diruntun ke tanah. Perasaan.. perasan… perasaan… perasan… hah, susah… Fez mengeluh.
Fez memasang video komedi di Youtube sambil memamah bijiran. Kadang-kadang ketawa. Dia buka channel Ellen dan pasang video Sophia Grace dan Rosie. Dia ketawa lagi sambil berharap anak-anaknya nanti akan comel-comel seperti mereka. Bijiran habis dimakan. Dia lihat lagi pada telefon bimbit. Sudah 20 minit berlalu, tapi masih belum ada jawapan. Maya sedang mandikah?
Ah, you are becoming a pathetic loser Fez! Jerit Fez pada dirinya sendiri. Rasa hatinya yang keliru tadi semakin hilang. Yalah, mungkin sebenarnya tidak ada apa-apa pun yang patut dia rasa. Tak apalah, Maya itu kawan yang baik. Ah, tapi kan dah bodoh hantar mesej macam tu pada dia tadi? Fez lihat balik pada mesej yang dihantar. Fuh, nasib baik tak ada guna perkataan ‘date’. Sekadar ajak minum-minum sahaja.
Kawan-kawan kan boleh diajak lepak minum-minum kopi? Fez mengetuk-ngetuk dahinya dengan genggam tangan. Geram kerana sekarang dia sudah berubah daripada sweet admirer kepada desperate stalker. Ah!
Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu bilik.
Fez tertanya-tanya siapa. Kalau Zayn, patutnya dia buka sahaja bilik itu kerana tidak berkunci.
Malas juga hendak bangun. Tapi bukannya ada apa pun yang hendak dibuat, dan Fez perlu bangun dan buka pintu itu. Jadi dia mengangkat punggungnya dari kerusi empuk dan berjalan ke arah pintu. Entah kenapa tiba-tiba hatinya berdebar-debar tanpa punca.
Perlahan-lahan Fez buka pintu dan di depan pintu itu berdiri gadis yang bermain di kepala. Maya?
Maya. Ya, kenapa Maya tiba-tiba datang? Fez terkesima seketika sambil mula memikirkan seribu satu kemungkinan. Kenapa tidak balas sahaja mesej? Perlukah sampai muncul di pintu. Ah, rambutnya rapi ataupun tidak? Ah!
“Hey, what are you doing here?” Fez pura-pura mesra sedang jiwa seperti sedang menaiki roller coaster di taman tema.
“Hey,” Maya tersenyum. “Aku rasa handphone aku slide jatuh dalam kereta tadi. Boleh kita pergi check kejap?”
“Ah, okay,” jawab Fez, sedikit lega, tapi kemudian dia teringat…. Alamak…