Jul 17 2010

11 – Itu namanya ego

Published by The Writer at 2:05 am under Belum Ku Temu

Fez sedikit kelegaan melihat emaknya tersenyum sebaik sahaja dia masuk ke dalam rumah.  Ayahnya di hujung katil, mengurut-urut kaki emaknya. Dian, anak jiran sebelah rumah pun ada sekali.

Tidak tenteram rasa diri sepanjang perjalanannya pulang ke rumah. Hendak saja dia memecut selaju yang mungkin tapi ayahnya sudah berpesan, “bawa slow-slow balik. Mak hang tak pa ja. Jangan nanti hang pulak yang accident.”

Sampai di pertengahan jalan tadi, ayahnya memberitahu yang emaknya sudah dibenarkan pulang ke rumah. Mujurlah Fez masih belum memasuki kawasan bandar untuk ke hospital, dapatlah dia mengelak kesesakan dan terus pulang ke rumah.

Camna boleh jadi camni?” tanya Fez sebaik sahaja tiba di rumah.

“Tak dak aih, mak hang panjat tangga kat belakang rumah tu,” ayahnya mula bercerita. “Tak belen kot, terbalik hempap mak hang.”

“Nasib baik Dian nampak mak cik, kalau tak takdak sapa sedaq,” Dian menyampuk. Dia muda 3 tahun dari Fez.

“Tak ada apa aih. Dian ni la yang pulun panggil ambulan,” kata emaknya dengan suara yang lemah. Fez perasan dari nada emaknya yang dia tidak berapa bersetuju dengan tindakan Dian menelefon hospital.

“Mak cik jatuh tinggi gak tu..” sambil tangan kanannya diangkat ke atas, mahu tunjukkan berapa tinggi. “Bukan dok boleh buat angkat-angkat sendiri. Kalau patah tulang, naya tu..” kata Dian.

Sudahlah tu Dian, orang tengah sakit, tak payahlah nak pertahankan diri sendiri, Fez merungut dalam hati walau dia tahu tindakan Dian itu betul.

“Doktor kata tak dak apa-apa. Dia tak bagi mak hang bergerak banyak ja,” sambung ayahnya.

“Mak boleh bangkit dak?” tanya Fez.

“Tak berapa boleh, tapi depa kata tak dak apa yang patah,” jawab emaknya. “Tulang tua.. macam tu la.”

Fez lega. Kalau tidak ada tulang yang patah, dua tiga hari eloklah agaknya, fikir Fez.

Ayahnya bangun. Mahu mandi dan solat. Dian juga minta diri untuk pulang ke rumah. Fez duduk bersama emaknya. Senyap saja mereka, sambil emaknya seperti memandang jauh, tidak berkata apa-apa. Fez turut sama dalam detik-detik sunyi, melayan fikiran sendiri.

“Kalau nak jadi Fez… jadi ja,” emaknya memecah diam. Fez membalas dengan kepala yang diangguk sedikit. Dia tahu apa-apa saja bisa berlaku dalam hidup. Ajal maut semuanya bukan kuasa diri. Fez bersyukur kerana tiada apa-apa yang lebih buruk terjadi. Siapa tahu hari esok akan tiba buat emak yang disayangi? Ataupun untuk diri Fez sendiri?

Mata Fez disuluh. Dari celah dedaun tingkap kayu, cahaya kemerahan masuk menyinari bilik. Fez bangun dan tingkap itu ditutup. Senja sudah tiba.

***

Kepala Fez terasa panas. Bukan disebabkan matahari yang sedang menegak di atas kepala. Tapi panas dengan timbunan fail-fail di atas mejanya di dalam perpustakaan.
Farhana membantunya dengan menyusun fail-fail tersebut.

“Saya tak faham betul lah Farhana, kalau nak suruh saya buat kerja-kerja ni, bagitaulah awal-awal,” Fez mula merungut. Komputer ribanya dipasang. “Ni, dah last minute, baru nak bagi, apa kes?”

“Bila deadline nya Fez?” tanya Farhana. Fez baru sahaja ditugaskan untuk mendaftarkan pelajar-pelajar SPM di sistem dalam talian. Guru yang bertanggungjawab sebelum ini baru sahaja bersalin.

“Lusa,” Fez masih lagi geram. “Takkanlah benda ni baru dapat minggu lepas. Tadi P.K. cakap sorang pun tak didaftarkan lagi!”

“Agaknya Filah ingat due date dia lambat lagi kot..” Farhana cuba menenangkan.

Fez panas. Masih geram. Baru sahaja pagi tadi dia naik angin disebabkan seorang pelajar yang biadab. Hari Isnin pula dia hanya ada satu waktu rehat, tapi dia tidak sempat ke kantin kerana dia perlu hantar soalan untuk ujian bulanan ke bilik fotokopi. Pak Cik Zakaria, kerani yang menguruskan fotokopi pula tiada di situ, penat dia pusing satu sekolah untuk mencarinya. Habis kelas terakhirnya, penolong kanan memintanya untuk mengambil alih tugas Cikgu Filah yang bersalin hari Jumaat yang lepas.

Relax ya,” Farhana memujuk. Dia memandang ke arah Fez sambil tersenyum. “I know you can do it.”

Entah kenapa Fez terasa semakin membuak-buak pula. Mungkin pada saat ini dia mahu Farhana bersama-sama menjerit kemarahan. Ataupun diam. Bukannya berlagak ayu, sopan dan memberi ayat-ayat manis untuk didengar.

Dia tahu dia sedang tidak rasional. Ego sedang meninggi gunung. Hati sedang membara. Bukannya dia tidak mampu menyiapkan tugasan yang diberi. Cuma bila dia terpaksa berkejar hanya disebabkan kesilapan orang lain, dia rasa dia wajar untuk naik angin. Dia tahu dia mampu. Maka, dia tidak perlu orang lain untuk buat pengesahan pada apa yang dia tahu. Dan itu namanya ego.

Kata-kata semangat dari Farhana, biarpun niatnya sesuci air dari puncak bukit, tapi seperti menyimbah minyak ke bara api. Itu seperti satu cabaran. Dan dia tidak perlu itu semua pada saat-saat begini. Itu namanya ego.

Dan Fez tahu yang ego itu tidak kena pada tempatnya. Jadi, biar saja dia tarik nafas panjang dan lupakan apa yang baru diungkap oleh si Farhana. Dia tidak mahu jadi melampau dan naik angin dengan Farhana sekali.

“Internet pula takleh connect!” Fez menghempaskan penumbuk ke atas meja. Farhana tersentak. Tidak pernah dia lihat Fez naik angin seperti ini.

Fez bangun. Dia perlu keluar untuk tenangkan diri.

“Nanti saya buat di rumah lah,” beritahu Fez pada Farhana. Terkebil-kebil Farhana melihat Fez. Nadanya benar-benar menakutkan Farhana. Belum pernah dia lihat Fez sebegitu. Fez memakai kasut dan keluar dari ruang perpustakaan yang berkarpet. Mahu ke mana? Pergilah ke mana-mana. Jangan meletup di depan orang yang tidak bersalah, sudah.?


3 responses so far

3 Responses to “11 – Itu namanya ego”

  1. rdnikaon 17 Jul 2010 at 2:10 pm

    yep, setuju, itu namanya ego! ahaha. kuat jugak ego Fez ye, hm. lol.

  2. NEA...on 23 Jul 2010 at 8:47 am

    ble smbungan nk klua???

  3. Aishahon 26 Jul 2010 at 6:19 am

    lelaki selalu kata yg wanita sukar dijangka.. same goes to man too… selalu kna pk..should i comfort him…or not?Dia ni nak kita bagi kata2 semangat ke nak kita marah sekali…huhu.. But at least..better for him to show his true nature than we know it later rite?

Trackback URI | Comments RSS

Leave a Reply