Aug 01 2010

12 – Hari yang tenang

Published by The Writer at 9:46 pm under Belum Ku Temu

“Insufficient balance?” Fez hairan. Dia hendak menghubungi Pak Cik Zakaria. Mahu ambil set kertas ujian yang dihantar semalam. Fez rasa, dia masih punya kredit di dalam telefon bimbitnya. Patutnya ada lagi seringgit, fikir Fez. Kakinya mula mengorak langkah.
Fez baru sahaja melepasi bilik guru, matanya melihat-lihat kalau-kalau Pak Cik Zakaria ada di sana. Kalau bukan di situ, mungkin juga di kantin. Kaki terus dihayun.

Ah, habis sms Farhana rupanya, Fez akhirnya teringat kenapa kreditnya berkurangan. Sebaik sahaja sampai di rumah semalam, dia terasa sangat bersalah akan kelakuannya di perpustakaan semalam. Kalau hendak berperangai sebegitu di depan Amy atau Leeya, Fez tahu dia tidak perlu kisah sangat kerana mereka sudah memahami angin Fez. Tapi kalau di depan orang yang tidak rapat seperti Farhana, memang tidak sepatutnya dia menyinga sedemikian rupa.

Hantar mesej minta maaf kat Farhana semalam, padanlah abis kredit, fikir Fez. Pastu dok bersembang-sembang benda-benda tak penting pula, marah Fez pada diri sendiri. Itulah Fez – dia memang berkira dalam hal-hal sebegini.

Fez menuju ke kantin. Hari masih awal. Cuaca sedikit mendung dan Fez suka dengan suasana sebegitu. Tidak begitu panas. Susah sikit mahu berpeluh. Mengingatkannya pada Bristol yang selalu sahaja mendung walaupun di sana tidak berpeluh kerana sejuknya melampau. Fez mengangguk dan menjawab salam apabila ada seorang pelajar menyapa.

Di kantin sekolah, beberapa orang guru sedang berbual dengan rancak.

“Makan, Fez!” jerit Cikgu Johar yang ternampak Fez melangkah masuk.

“Takpe, takpe. Ada kelas japgi,” balas Fez. Fez tiada kelas sehingga empat waktu terakhir. Tapi dia malas hendak duduk makan dan berbual. Ada longgokan kerja yang perlu disiapkan. Kerja semalam yang belum habis. Pada perkiraan Fez, menjelang petang siaplah kerjanya. Mata Fez mencari-cari lagi Pak Cik Zakaria. Fez nampak Pak Cik Zakaria di meja berdekatan sinki.

“Pak cik, kertas ujian tu dah siap ke?” tanya Fez setelah dia berdiri di depan meja. Suaranya dilembutkan. Tidak mahu kurang ajar dengan orang tua.

“Ah cikgu. Siap dah, nak sekarang ke?” Pak Cik Zakaria bertanya. Fez sedar yang Pak Cik Zakaria baru sahaja menjamah makanan di mejanya dan dia tahu perangai Pak Cik Zakaria yang selalu mendahulukan orang lain.

“Hm.. ujian tu pukul 11 nanti. Nanti saya ambil dalam pukul 10.30 boleh, pak cik?” ujar Fez. Risau pula jika Pak Cik Zakaria tiba-tiba berhenti makan untuk melayan karenahnya.

“Kalau macam tu, nanti pak cik hantar kat meja cikgu lah,” ujar Pak Cik Zakaria.

“Eh, banyak tu… Menyusahkan pak cik ja.”

“Takdalah. Tak pa.”
“Tak per ya? Terima kasih pak cik.”

***

2 bungkus nasi lemak habis disantap di dalam biliknya di perpustakaan. Ada lagi satu bungkus. Kononnya tadi terasa lapar sangat. Sekarang sudah tidak habis. Kuih karipap pun masih ada lagi.

Fez meneguk air teh ais yang dibungkus. Dia menghembus nafas lega. Kalau sudah makan, barulah terasa bertenaga kembali untuk berkerja. Kalau tidak, rasa panas hati saja.

Hari ini juga lebih baik untuk Fez. Talian internet sudah pulih. Kelas juga tidak banyak pada hari ini. Ada beberapa jam lagi sebelum kelasnya bermula. Fez senang hati. Fez membuang sisa makanan ke dalam tong sampah di tepi bilik dan dia mula menghadap komputer di mejanya.

Fez terdengar pintu biliknya ditolak. Farhana rupanya.

“Hai Fez,” sapa Farhana dengan senyuman yang melebar. Dia meletakkan beg tangannnya di atas kerusi. “Buat apa tu?”

Fez sempat mengerling, membalas senyuman Farhana. Matanya kembali tertumpu kepada skrin di hadapan. “Ni tengah daftar masuk nama bebudak SPM.” Tangan Fez menuding ke arah nombor kad pengenalan yang baru sahaja dimasukkannya. Terasa seperti tidak cukup angka pula.

“You nak I tolong?” Farhana bertanya.

“Sure. Thanks,” balas Fez sambil memandang ke arah Farhana. Semakin lega rasanya. Dia kembali memandang ke skrin.

“Tapi I nak makan dulu. You dah makan?” tanya Farhana, masih lagi melihat ke arah Fez yang begitu khusyuk dengan kerjanya.

“Dah,” balas Fez. Tiba-tiba dia teringat nasi lemak yang berbaki. Dia beralih kepada Farhana. “You nak nasi lemak? I ada extra.”

“Oh ya?” Farhana sedikit teruja.

“Ha ah. Karipap pun ada,” Fez menghulurkan plastik yang mengandungi makanan tersebut.

Farhana mengambil dengan tersipu-sipu.

“I makan kat bilik I ya,” kata Farhana. Bilik mereka berdua sebelah menyebelah di dalam perpustakaan.

“Okay,” balas Fez ringkas.

“See you soon,” kata Farhana sambil keluar dari bilik Fez. Matanya tidak putus dari melihat Fez sementara Fez masih tertumpu pada skrin komputer.

Sebaik sahaja Farhana meninggalkan bilik, Fez terhenti sekejap. Dia tersedar sesuatu. Kenapa semacam ja dia hari ni? Takkan kot? Fez tertanya di dalam hati. Ah.. taklah. Fez menyambung kembali kerjanya.


3 responses so far

3 Responses to “12 – Hari yang tenang”

  1. Pingu Toha yang jeleson 02 Aug 2010 at 12:54 am

    kuasammmmmmmmmmmmmmmmmmmm punye entri. sentiasa membiarkan pembaca tertanya2!

    hang mmg pakar cliffhanger ah, am!

    HUAHUAHUA

  2. NEA...on 02 Aug 2010 at 10:04 am

    yay!! da ad update… hehehe… cliffhanger eyh… da wat org saspen, pas ney update cpt2 eyh!!! hehehe… nway, best!!

  3. mahiron 05 Aug 2010 at 2:09 am

    jeng jeng jeng!

    ~apa kisah amy ngan adri???

    terima kasih fez sudah kembali hahahaha ^_^

Trackback URI | Comments RSS

Leave a Reply