Aug 07 2010
13 – Pasang Surut Amy
1.50 petang. Wah, sudah lambat. Lagi 10 minit kelas tutorial akan bermula. Amy kalut. Dia mencari slaid transparensi yang mengandungi jawapan untuk kelas tutorial pertamanya semester ini. Ah di situ sahaja. Mujur dia sudah letakkan siap-siap di tepi rak. Sangat membantu apabila saat-saat seperti ini berlaku.
Senarai nama pelajar untuk kelas pukul 2 petang itu pun ada sekali. Bagus. Di mana kelas tutorial? Amy melihat jadual di papan notis di depan mejanya. Oh, rupanya di bangunan fakulti. Hanya di tingkat 3. Panjat saja tangga ataupun kalau malas, boleh naik lif. Amy duduk sekejap. Nafas ditarik dan dilepas. Dia masih ada lagi 8 minit.
Sebentar tadi Amy pergi melawat emak Fez. Dalam satu jam jaraknya dari rumah emak Fez ke universiti. Lega sedikit bila Amy lihat yang emak Fez sudah semakin pulih. Masih belum dapat berdiri sepenuhnya, tapi sudah mampu duduk. Dia beransur dari rumah emak Fez agak awal tetapi tersangkut di atas Jambatan Pulau Pinang kerana kesesakan. Disebabkan kemalangan rasanya.
Amy teringat akan mesej yang dihantar oleh Rael pagi tadi. Dia mahu Amy pasang perisian messenger di universiti. Senang untuk dihubungi katanya. Amy melihat jam tangannya. 7 minit lagi. Nantilah dia muat turun perisian tersebut selepas dia kembali dari kelas.
Senarai nama pelajar diambil. Matanya menyorot nama-nama dari atas ke bawah dengan pantas. Amy menarik nafas panjang. Dia sudah tahu hakikat ini sejak minggu lepas sebaik sahaja Dr. Fitri memberikannya senarai nama pelajar. Adri Amali Ahmad. Nama itu berada di atas sekali untuk kelas tutorial hari Rabu, jam 2 petang. Kebetulan oh kebetulan. Amy tidak tahu apa yang dia rasa pada saat ini.
Cuma dengan kekalutan dua tiga hari yang lepas, dengan pelawat dari Thailand, emak Fez yang kemalangan juga makan tengah harinya bersama Rael yang tidak menjadi; bayang Adri tidak lagi mengaburi jiwa Amy.
Perasaan. Kalau dilayan, memanglah makin menjadi-jadi. Biar saja sesuatu yang dirasa itu datang dan pergi. Seperti ribut yang kadangkala datang tika awan berarak. Tiba masanya redalah ribut itu. Kalau diterjah ketika sedang mengganas, mungkin bisa dipanah kilat jua.
Amy berhenti mengelamun. Dia perlu ke kelas sekarang. Air mineral dari dalam botol diteguk dan dia melangkah pergi.
***
“Let me tell you something,” Amy menarik nafas panjang. Mungkin sedikit marah. Mungkin juga kecewa. “We are mathematicians…” Amy terhenti di situ. Kelas ini memang diajar dalam Bahasa Inggeris, tapi dia mahu bercakap sekejap dalam Bahasa Melayu.
“Soalan tutorial ni, kalau kamu setakat salin jawapan… tak berkesanlah,” Amy senyap seketika. Nampak benar pelajar-pelajar di dalam kelasnya sudah mula tunjuk muka cuak bila dia meninggikan suara. “Saya tahu kamu semua ni pelajar universiti, dah boleh buat keputusan sendiri, tapi kalau kamu betul-betul nak …”
Amy terhenti di situ. Tidak tahu hendak sambung apa. “I’ve made my case. But believe me, if you want to ‘just pass’, that’s up to you. If you want to score some A’s, do your homework!”
“But miss, we’ve just learnt this chapter yesterday!” satu suara mencelah.
Adri. Amy semakin membara. Hilang sudah semua drama-drama minggu lepas. “So? You can still do it after the lecture!”
Adri diam.
Kalau habis kelas boleh pergi menari dan menyanyi, takkanlah nak buat tutorial sehelai pun tak boleh? Amy mengomel di dalam hati.
Sunyi masih, kecuali derap kaki Amy yang melangkah ke tengah kelas. Dia kembali kepada slaidnya dan menyambung kembali kelas tutorial tersebut.
***
Surat khabar diletakkan di atas meja. Sambil bihun sup dikaut, Amy membaca berita di muka depan. Dia terasa lega meskipun baru sahaja naik angin sedikit sebentar tadi. Amy ketawa sendiri. Mungkin juga dia terasa lega kerana sudah puas berleter pada budak-budak kelasnya. Mungkin juga dia lega kerana wangi bihun sup di hadapan muka. Biarlah sebab apa pun. Dia tahu itu tindakan yang betul. Ya. Memang wajar pun budak-budak itu diberi sedikit peringatan. Tindakan membeli bihun sup – itu pun sangat wajar!
Takkanlah hanya 2-3 orang sahaja dari 20 orang lebih pelajar kelasnya yang menyiapkan tutorial. Dia tahu juga akan budaya masuk kelas untuk menyalin jawapan. Tapi ini kelas dengan Cik Amy. Cik Amy tidak mudah-mudah berdiri di depan macam tunggul dan memberi jawapan.
Amy datang ke kafeteria berdekatan dengan dewan kuliah. Jauh sedikit dari fakulti dan perlu mendaki bukit yang tidak berapa tinggi, tapi bihun sup di sini sangat sedap. Ditambah dengan air buah dari gerai Untie Teoh. Air tembikai susu ataupun lengkong dengan kembang semangkuk; itu definisi minuman yang menyegarkan.
Segar juga minda Amy bila rasa hati ini semakin tenang. Tiada lagi drama Adri menusuk kalbu. Dia langsung tidak terganggu sepanjang pengajaran kelas tadi, walaupun Adri kadang-kadang memberi senyuman penuh makna. Ah, kalau kerja tak siap, takdenya nampak seksi, fikir Amy. Tiba-tiba Amy terasa malu sendiri apabila dia menggunakan kata ‘seksi’ untuk menggambarkan Adri.
Amy mengaut bihun sup perlahan-lahan. Panas. Kuah dihirup dengan sudu selepas dihembus sedikit.
“Boleh saya join Cik Amy?” Satu suara menyapa.
Jantung Amy seperti gendang yang dipalu. Amy tidak perlu menoleh ke arah yang bertanya untuk tahu siapa itu. Cerita hidupnya benar-benar kekurangan watak pembantu. Sekadar Rael, Fez, Leeya dan si mamat Adri itu. Dan rasanya dia tahu siapa yang menegur pada waktu-waktu begini; tapi dia perlu juga mendongak ke atas. Boleh tak kalau tunduk dan pura-pura tak dengar? Amy tertanya pada diri sendiri.
Amy beralah dan menangkatkan kepalanya.
Adri.
Is this even real? Kat mana aku ada, dia mesti adakah? Ke mana perginya ketenangan di bumi ini? Amy menjerit di dalam hati.
Mukanya cuba dibuat-buat seperti tenang namun Amy sendiri tahu yang dia tiada keupayaan untuk menyembunyi emosi di hati.
“Du.. duduklah,” tergagap pula.
Adri tanpa segan silu duduk bertentangan dengan Amy. Mata Amy menular ke sekitar. Bukannya tiada meja kosong yang lain. Sekadar mahu meruntun jiwa yang lara ini saja, fikir Amy. Ah, tidak! Dalam otak aku pun nak berdramakah?
***
Adri memohon diri dan dia meninggalkan Amy bersendirian. 20 minit yang penuh dengan pelbagai emosi. Hari ini dia belajar banyak tentang Adri. Tentang dia yang punya ibu tunggal, membesarkan 4 orang anak bersendirian. Tentang Adri yang bekerja di ladang sewaktu di sekolah menengah. Kalau sebelum ini dia tidak tahu apa yang dia rasa… Tidak. Kalau sebelum ini dia tahu yang dia hanya tertarik kepada Adri dengan paras rupa yang cukup matang dan renungan mata yang bisa membobrokkan perisai hati; kini Amy semakin tertarik dengan jati diri dan kekuatan personaliti…
Tidak!! Amy menjerit di dalam hati. Aku sudah punya Adri! Ah, I mean Rael! Damn it!
kuasammmmmmmmmmmmmmmmm punya paedo!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
hang ni membuatkan ku tersenyum-senyum membaca! parah nih! kalau ku yang macho ni pun boleh jadi cam tuh baca novel hang… apakan lagi gadis2????
ok, set! hang ikut ku masuk JS!
Royalti 50-50!
Amy dalam dilema….
En Pingu! Apsal ko kena dapat 50??
Ko memang.. asal ada paedo paedo punya theme, mesti excited! Keke.