Aug 14 2010
15 – Salah apa
Hujan rintik-rintik di luar. Fez baru sahaja sampai di biliknya di perpustakaan. Perhimpunan hari ini dibatalkan kerana hujan. Lega juga rasanya. Jangan fikir murid-murid sahaja yang terasa bosan, Fez juga turut terasa begitu. Rasanya banyak sangat nasihat yang sama diulang-ulang oleh guru kepada pelajar. Tapi mungkin perlu juga. Bila diulang, barulah benda itu lekat di hati.
Jam menunjukkan tepat pukul 8 pagi. Dia masih ada 2 jam sebelum kelas seterusnya bermula. Baru sahaja dia meletakkan punggungnya di atas kerusi dia ternampak Cikgu Suffiyah melangkah masuk ke dalam perpustakaan. Biliknya punya cermin lutsinar yang membolehkan dia melihat keluar.
Cikgu Suffiyah melambai-lambaikan tangannya kepada Fez sebelum dia meletakkan kasutnya di rak kasut berdekatan pintu masuk perpustakaan. Fez mengangkat tangannya tidak berapa tinggi. Entah Cikgu Suffiyah nampak, dia pun tidak tahu. Cikgu Suffiyah melangkah laju ke arah bilik Fez. Fez sekadar memerhati.
“Fez!” sapa Cikgu Suffiyah sebaik sahaja dia berada di muka pintu bilik Fez. Tanpa segan silu dia terus duduk di kerusi bertentangan.
“Ya Kak Yah, kenapa kalut semacam ni?” balas Fez. Dia tersenyum. Sudah begitu biasa dengan Cikgu Suffiyah yang selalu datang untuk berjaja cerita. Dari riak muka Cikgu Suffiyah, Fez tahu yang dia bukan datang dengan tangan kosong.
Cikgu Suffiyah melihat ke arah mata Fez dengan senyuman yang melebar. Dibiarkan sunyi sebentar supaya Fez semakin tertanya-tanya.
“Akak dengar cerita fasal kamu!” Cikgu Suffiyah bermula. Fez mengangkat keningnya, mahu tahu ayat selanjutnya dari mulut Cikgu Suffiyah. “Akak dengar kamu ada apa-apa dengan Farhana!” Semangat benar nada Cikgu Suffiyah.
Rasa teruja Fez hilang apabila mendengar akan hal itu. Bukanlah perkara baru pun dalam sekolah, memang ramai guru-guru yang memadan-madankan mereka kerana kedua-duanya masih bujang.
“Ala akak ni. Kan ke banyak jer cikgu-cikgu yang cakap macam tu,” jawab Fez selamba. Fez tersenyum. Ini dikira gossip yang tak berapa panas, fikir Fez.
Cikgu Suffiyah tersengih lebar. Dia tahu ceritanya bukanlah cerita suam-suam kuku. Cerita ini cerita sensasi. Dia yakin akan hal itu. “Fez, ini bukan setakat cakaplah. Farhana sendiri yang bagitau akak!”
“Farhana cakap?” Fez mengerutkan mukanya. Dia benar-benar hairan “Er.. bilanya kami ada apa-apa?” Fez terasa pelik. Sejak bila dia ada apa-apa dengan Farhana dan takkanlah dia sendiri boleh terlupa kalau hal itu terjadi?
“Dia cakap kamu dah mula rapat-rapat dengan dia,” kata Cikgu Suffiyah. Dia terdiam sekejap melihat akan reaksi Fez yang seperti tidak tahu apa-apa. Cikgu Suffiyah menyambung, “dia kata kamu mesej-mesej dengan dia dua tiga hari lepas. Siap cakap peluk cium semua.”
Mulut Fez ternganga. Peluk? Cium? Itu bukan perkataan yang akan diguna sewenang-wenang olehnya. Takkanlah dia menghantar mesej sebegitu ketika tidur? Fez semakin hairan.
“Serius akak, saya takde tulis bebenda macam tu!” Fez menggeleng-geleng kepala. Dia terasa malu. Cikgu Suffiyah senyap seketika. Fez turut serta. Bunyi hujan di luar semakin kuat.
“Takkanlah dia nak tipu akak?” tanya Cikgu Suffiyah.
“Takkanlah saya nak hantar mesej cakap ‘saya nak peluk awak’?”
***
Sebaik sahaja Cikgu Suffiyah meninggalkan bilik, Fez mula beredar dari perpustakaan supaya dia dapat mengelakkan diri dari berjumpa Farhana. Dia tidak tahu apa reaksi yang akan dia beri kalau tiba-tiba berjumpa Farhana. Cerita dari Cikgu Suffiyah menimbulkan seribu tanda tanya.
Tidak hairanlah Farhana lain macam dua tiga hari lepas, fikir Fez.
Fez terlupa akan Farhana apabila kelas jam 10 bermula dan dia disibukkan dengan hal kerja sehingga akhir waktu.
Dia kembali ke rumah emaknya selepas waktu persekolahan tamat.
“Mak okay ka hari ni?” tanya Fez sebaik sahaja dia memberi salam. Emaknya sedang duduk di atas kusyen sambil menonton rancangan wanita. Emaknya beralih sedikit untuk memandang Fez yang melangkah masuk ke rumah.
“Okay dah sikit,” jawab emaknya. “Tadi cuba bangkit tapi rasa tak sedap pulak tulang rusuk ni,”
“Makan lalu dak?”
“Tadi ayah hang masak gulai telur, tapi mak dan la makan sejemput.”
“Mak kena makan tu.. Kalau tak, tak lega.”
“Takpa, satni mak makan lagi.”
“Kalau mak nak, bagitau. Nanti Fez bohkan. Fez masuk bilik jap.”
Emaknya mengangguk dan kembali menonton televisyen. Fez melangkah masuk ke dalam bilik yang memang sudah menjadi miliknya sejak dia belajar tidur sendiri.
Biliknya tidak berapa luas. Hanya ada katil bujang, sebiji almari dan meja solek peninggalan arwah nenek. Cermin meja solek itu ada 3 bahagian. Satu di tengah dan dua di tepi yang boleh dikuak masuk dan keluar. Di atas almari ada beberapa piala dari zaman persekolahannya yang sudah berhabuk.
Fez menanggalkan pakaian kerjanya. Baju kemeja dan tali leher disangkut di atas penyangkut baju dan digantung di dinding bilik. Kipas angin di siling dihidupkan. Sesekali terdengar kuak kipas angin berpusing.
Fez membaringkan diri ke atas katil sambil kakinya terjulur ke bawah. Baru sahaja dia hendak memejamkan mata, dia terasa getar telefon bimbit di dalam poket seluar.
Mesej dari Amy.
‘I’m confused weh, can we meet tomorrow?’
Esok sudah hujung minggu dan Fez rasa yang dia tidak ada apa-apa untuk dibuat. Tapi baru sahaja dia hendak membalas, dia teringat janjinya beberapa hari lepas untuk keluar makan dengan Farhana.
Ah, Farhana!
Ah, janji untuk keluar makan di TGI Friday!
Ah, takkanlah itu dianggap date?
Fez teringat kembali pada cerita sensasi Cikgu Suffiyah. Mula rapat dan bermesej peluk cium? Fez teringat akan beberapa malam lepas yang dia ada bermesej dengan Farhana. Boleh baca balik ni, sepatutnya ada dalam sent folder, fikir Fez.
Fez mula menekan-nekan bebutang di telefon bimbit. Dia perlu semak mesej yang dihantar pada Farhana dua tiga hari lepas. Mungkin jawapannya ada di sini.
9.09pm To Farhana
Farhana, sorry about earlier. Stress out. Tu sebab saya meletup sikit.
9.11pm From Farhana
No problem, takpe. Kadang-kadang ada jer hari-hari yang macam ni.
9.12pm To Farhana
Thanks. Appreciate it.
9.20pm From Farhana
You are welcome. Ni Fez tengah buat apa?
9.21pm To Farhana
Still daftar masuk pelajar SPM.
9.22pm From Farhana
I baru balik dari TGI Friday. Nice food there.
9.23pm To Farhana
Oh, tak pernah try.
9.25pm From Farhana
Kalau nak, jomlah pergi weekend ni. I ada discount voucher valid sampai Ahad ni.
9.26pm To Farhana
Oh. That would be nice:) Thanks.
9.27pm From Farhana
yw. You dah makan?
9.28pm To Farhana
Yes, beli kat gerai dekat rumah.
9.40pm From Farhana
Fez, can I tell you something?
9.41pm To Farhana
Sure.
9.42pm From Farhana
I had a big fight with my bf and kami break up
9.41pm To Farhana
Aw, sorry to hear that.
9.42pm From Farhana
I feel bad of myself. Like I don’t deserved to get love.
9.43pm To Farhana
Come on. You know you are amazing and worth of love.
9.45pm From Farhana
You think so?
9.50pm To Farhana
Yes. x
9.51pm From Farhana
Thanks Fez. You’re so sweet.
10.45pm From Farhana
Okay Fez, I’m going to bed. Good night. Sweet dream. See you tomorrow.
10.46pm To Farhana
Good night. x
Fez mengurut-ngurut kepalanya. Rasanya ada orang yang sudah salah faham!
nice…. tak sabar tunggu sambungannye… but sabar2x
sabar kan separuh dari iman…