Aug 17 2010
16 – Farhana dan Milo panas
Angin berderu-deru pada petang ini. Enak sahaja kalau ada kuih cekodok pisang dengan air Milo panas. Rasa di hati hendak bangun dan pergi buat di dapur, tetapi malas sekali mahu beranjak dari kerusi malas ini. Di depan pagar rumah, boleh nampak beberapa orang kanak-kanak bermain riang. Nampak seperti Auntie Sally baru sahaja masuk ke rumahnya dengan beg plastik yang berbondong-bondong.
Farhana meletakkan majalah yang didakapnya sejak tadi ke atas meja di sebelah. Dia hendak bangun tetapi dia sempat perasan yang seluarnya tersangkut di bucu kerusi. Tangannya menguit mahu membetulkan hujung seluarnya. Dia berdiri sambil tangannya didepangkan. Mengeliat.
Sepanjang hari dia menghabiskan masa di dalam rumah. Bukan mudah hendak ada masa terluang pada hari Jumaat sebegini. Banyak sangat kerja-kerja sekolah biasanya. Hari ini Farhana seorang sahaja di rumah. Adik-adik mengikut ibu dan ayahnya ke kenduri arwah di Alor Setar. Sampai sekarang tak balik-balik, agaknya melencong ke mana-mana dahulu mereka ni, fikir Farhana.
Dia tidak kisah. Ada sahaja aktiviti yang bisa dibuat walaupun bersendiri. Ada majalah-majalah wanita yang ibu beli tiap-tiap keluaran. Dan jika dia mahu benar-benar mencabar minda, dia boleh baca majalah Pemikir yang ayahnya beli sekali-sekala. Pernah juga dia menyelak-nyelak tetapi terasa berat sangat isu-isu yang dibincang.
Tengah hari tadi selepas makan, lebih 100 mukasurat buku The Sky Is Falling telah dia baca. Farhana memang gemar membaca karya Sidney Sheldon. Walaupun dia merasakan novel Sidney Sheldon yang terdahulu lebih menarik, tetapi buku ini masih dia suka.
Farhana melangkah masuk ke dalam dapur. Dia melihat jika ada pisang untuk dibuat cekodok. Hampa. Ubi adalah di dalam raga tempat ibu selalu letakkan buah-buahan. Tapi Farhana tidak terasa hendak makan ubi.
Air panas dijerang di dalam cerek elektrik dan Farhana bersiap sedia dengan Milo tiga dalam satu di dalam mug. Tin yang mengandungi biskut gula dikeluarkan dari dalam kabinet bawah.
Farhana meninggalkan dapur dan pergi ke arah ruang tamu. Pintu depan ditutup dan dikunci kerana dia mahu duduk-duduk di dapur. Farhana kembali ke dapur melalui ruang tamu kedua yang separa kemas. Ada buku-buku komik adik-adiknya yang bersepah di depan televisyen. Biarlah, nanti baru kemas.
Sementara menunggu air dijerang, meja dilap dengan kain buruk. Fikirannya mula merewang. Teringat akan pergaduhannya dengan Fareez, bekas teman lelakinya. Fareez sudah tidak seperti dahulu. Jarang-jarang mahu telefon juga jarang-jarang ambil berat akan dirinya.
Bila dia beritahu Fareez yang dia sedang makan dengan Fez tempoh hari di KFC, Fareez mula marah-marah. Cemburu.
Entahlah. Farhana terdiam.
Mungkin jodoh sudah tiada. Bukannya baru sahaja dia merasa begitu. Sudah dua tiga bulan Fareez semakin asing buatnya. Hanya sekadar teman yang jarang bertanya khabar tetapi selalu mengawal dirinya dan berburuk sangka. Dia tidak perlu teman sebegitu.
Cerek elektrik berbunyi sedikit. Air sudah panas. Farhana bangun dan menuangkan air panas ke dalam mug. Cerek diletakkan kembali di atas kabinet dapur dan Farhana duduk memerhati wap yang keluar dari mug. Tunggu sejuk sedikit.
Farhana tahu Fez sukakannya. Bila dia sebut fasal ‘boyfriend’, muka Fez berubah serta merta tempoh hari di KFC. Fez senyap sedikit selepas itu. Nada Fez seperti kecewa.
Sejak hari itu jugalah Fez sangat ramah dengan Farhana. Selalu ambil berat akan hal dirinya.
Farhana tiba-tiba teringat akan perbualan dengan Cikgu Suffiyah.
“Kamu dengan Fez tu ada apa-apa ke?” tanya Cikgu Suffiyah satu hari ketika mereka di kantin.
“Takde kot,” jawab Farhana ringkas.
“Eh, ‘kot’ pula. Kamu suka dia ke?” Cikgu Suffiyah cuba mengorek rahsia.
“Entahlah Kak Yah.”
“Kamu ni.. Kak Yah rasa dia pun suka kamu. Lain macam dia pandang kamu tu..” kata Cikgu Suffiyah dengan nada selamba. Pancingnya sudah mengena.
Farhana terasa malu. Dia menoleh-noleh sekeliling untuk memastikan tiada sesiapa mendengar. Tiada guru lain di kantin pada ketika itu. Tapi Farhana masih berbisik “Saya pun rasa macam tu. Baik lain macam jer dia layan saya sejak kebelakangan ni…”
“Haa… kan dah cakap,” Cikgu Suffiyah semakin teruja. Cikgu Suffiyah memang gembira jika ada pasangan baru di sekolah. Apatah lagi jika dia yang memasangkan mereka. Apa salahnya? Dia sekadar mahu membina masjid orang lain.
“Ni saya nak tunjuk pada Kak Yah, mesej dia hantar pada saya,” ujar Farhana. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam beg tangan dan menunjukkan mesej yang dihantar oleh Fez.
‘Good night. x’
“Menatang apa ‘x’ tu Farhana?” tanya Cikgu Suffiyah.
“Kak Yah ni… menatang pula. Selalunya orang tulis ‘xoxo’. ‘o’ tu maksudnya hug, ‘x’ tu maksudnya kiss,” Farhana tersenyum. Tidaklah dia beranggapan Fez bermaksud ‘kiss’ secara literal. Tetapi itukan tanda Fez sedang menghantar kata seribu makna. Farhana terasa pipinya panas.
“Wah, peluk cium tu. Ni akak kena tanya Cikgu Fez ni!”
“Akak! Jangan tanya Fez!” Farhana menjerit. Walaupun dia sedar Fez memberikan tanda-tanda berminat, tidaklah pula dia mahu Cikgu Suffiyah bising-bising. Biarlah terjalin dahulu perhubungan antara mereka.
Cikgu Suffiyah mencebik.
“Janji! Akak jangan tanya! Ya?” pinta Farhana.
“Hmm…” Cikgu Suffiyah berdengus panjang sambil meneguk air soya.
Mug Milo di depan disentuh Farhana. Sudah sejuk sedikit agaknya air Milo ini. Farhana membawa mug dan beberapa keping roti gula ke ruang tamu. Televisyen dipasang dan Farhana duduk bersimpuh di atas sofa.
Farhana menghirup perlahan-lahan air Milo dari dalam mug. Tiba-tiba dia bangun dengan pantas dan melangkah ke arah bilik tidurnya. Almari bajunya dibuka dan Farhana mencari-cari baju berwarna biru yang disukainya serta blaus labuh gelap. Jumpa. Risau pula kalau-kalau baju itu belum dibasuh. Dia mahu pakai baju dan blaus itu esok ke TGI Friday bersama Fez.
Farhana kembali ke ruang tamu. Dia mencapai telefon bimbit di atas meja kecil di sebelah televisyen. Cadangnya mahu telefon ibu, hendak tahu di mana mereka sekarang. Tetapi baru dia perasan ada mesej masuk yang belum dibaca. Mesej dari Fez.
‘Farhana, I can’t make it tomorrow. Sorry ya.’
Farhana sedikit kecewa.
‘Okay. Next time then.’ Dia membalas.
Baju biru itu. Pakai hari Ahad ini sajalah.
wah!!! makin best cerita ni…
Kalau dibukukan, mesti lagi best…
setuju dengan Annisa 100%! ^^
Dini ni tak habis2 setuju ngan akak… hehe (^_^)