Aug 29 2010

17 – Dari subuh ke petang

Published by The Writer at 3:41 am under Belum Ku Temu

“Fez..”

Sunyi. Tiada jawapan. Kedengaran bunyi ayam berkokok dari kejauhan dalam keheningan pagi.

“Fez! Bangkit,” kelui emak Fez dari ruang tamu. “Bangkit.. subuh.”

Di ruang tamu di tingkat bawah, televisyen dipasang dan rancangan tazkirah pagi sedang dalam siaran. Emak Fez duduk bersandar di atas kusyen. Ini bukan kebiasaan emak Fez. Biasanya dia akan bangun dan menyapu di waktu pagi. Ataupun sudah masuk dapur untuk memasak sarapan untuk suami dan anak tersayang. Sambil televisyen biasanya akan dikuatkan supaya boleh didengar dari dapur.

Mata emak Fez dijelingkan ke pintu, mahu lihat jika ada bayang Fez turun ke bawah. Fez masih belum bangun. Dia sedang nyenyak tidur di bilik di tingkat atas.

Entah mimpi apa Fez pagi ini. Sejak kebelakangan ini dia selalu mimpi ngeri. Berselang seli dengan mimpi dia berada di tempat tinggi. Atas bangunan ataupun beberapa malam lepas dia mimpi berdiri melihat pemandangan dari atas bukit. Dingin waktu pagi menambah rasa enak untuk terus tidur. Tambahan lagi rumah ini jauh dari jalan besar, maka tidaklah hingar dengan bunyi kereta ataupun lori.

Sunyi bilik Fez hilang apabila telefon bimbit Fez berbunyi di sebelah. Fez menggapai-gapai telefon dan menjawab sambil mata masih tertutup.

“Ah, okay okay,” dalam mamai Fez  menjawab. Dia meletakkan telefon bimbitnya dan dia lantas mengangkatkan kepala dan badannya, tapi masih duduk di atas katil. Matanya masih pejam.

Telefon berbunyi sekali lagi.

Fez menjulurkan kaki ke bawah. “Ya, ya Fez bangun ni!”

Dering telefon bimbitnya berhenti.

Dia berdiri dan mencapai tuala yang tersidai di palang besi di tepi almari. Matanya dibuka sedikit, cukup untuk melihat arah ke ruang tamu dan ke bilik air.

“Hang ni, dah besar panjang pun nak kena mak kejut lagi,” emaknya mula membebel sebaik sahaja melihat Fez muncul di muka pintu di tingkat atas. Fez turun perlahan-perlahan menuruni tangga batu yang menyambungkan tingkat atas rumah yang diperbuat dari papan dan tingkat bawah rumah yang dibina dengan batu. Fez menonong ke arah dapur. “Ish hang ni.. Buka mata tu!”

Rumah ini dahulu sepenuhnya daripada papan. Ditinggikan dari tanah seperti rumah-rumah lama. Sepuluh tahun lepas, bahagian dapur, ruang tamu dan bilik air ditambah dan diperbuat dari batu. Sejak emak Fez jatuh tempoh hari, emak Fez hanya tidur di ruang tamu. Senang untuk bangun ke bilik air.

Emak Fez tersenyum melihat keletah anak bujangnya. Biasanya dia akan pergi sendiri mengejutkan anaknya untuk solat Subuh. Tapi dek kerana badannya masih tidak rasa sedap untuk berdiri, dia gunakan sahaja apa yang termampu. Telefon bimbit ini Fez belikan untuknya sebelum Fez ke UK dahulu. Biasanya dia gunakan untuk menelefon saudara mara. Pagi ini dia gunakan untuk mengejutkan anaknya dari tidur. Emak Fez merenung jauh. Hebat sangat satu rumah pun nak guna handphone, fikirnya. Tapi bagus juga pada tika begini.

***

Fez sambung tidur selepas dia menunaikan tanggungjawab pada Illahi.

Sedang matahari naik segalah, telefon Fez berbunyi sekali lagi.

Eh, dah bangun dah subuh tadi! Fez terfikir dalam hati. Dia mencapai telefon di sebelah. Mahu lihat siapa di talian. Entah nombor apa yang keluar.

‘+301’

Ini panggilan dari ceruk mana?

“Hello.” Fez memberi sapaan.

“Ah, ko rupanya! Kenapa nombor pelik ni??” tanya Fez. Matanya masih tertutup.

“Oh padanlah..” kata-katanya terhenti. Orang di hujung talian memotong cakapnya.

“Okay ja, best ja,” jawab Fez.

“Sekarang ni kat rumah mak aku,” jawab Fez lagi.

“Oh, congrats!” Fez mengucapkan tahniah.

“Woi, takde duit maaa..” ujarnya.

“Ko biar betul? Serius?” tanya Fez dalam girang. Matanya mula dibuka sedikit.

“Okay ja, cuti sekolah time tu.” katanya lagi. Kali ini Fez diam buat beberapa lama. Orang di hujung talian tidak berhenti bercakap. Mata Fez kembali dipejamkan tetapi dia sedar dan mendengar. Kepalanya diangguk-anggukkan seolah-olah orang itu dapat melihatnya.

“Okay okay okay, nanti aku email ko details.” Fez terasa dia seperti kanak-kanak mendapat gula-gula. Senyum lebar dia.

“Okay, bye.” Perbualannya tamat. Fez membuka mata untuk melihat masa di telefon bimbit.

Fez cuba melelapkan kembali mata tetapi sukar kerana dia terlalu gembira.

***

Kelas tutorial Amy pada hari Jumaat tamat pada jam 4 petang. Amy sudah berjanji untuk berjumpa dengan Fez di kafeteria di tepi padang. Dapat minum petang, juga Amy sudah tidak terlarat lagi untuk menanggung masalah ini seorang.

Kenapa ini satu masalah?

Kalau hati rasa serba tidak kena, kalau waras akalnya pun memberitahu yang ini seperti menempah bahaya, Amy tahu dia perlu cari jalan penyelesaian. Lagi menjadi masalah apabila dia sudah dalam ikatan dengan Rael.

Ikatan? Amy tertanya sendiri. Mereka masih belum bertunang. Tapi mereka pasangan yang bercinta. Apa kata kalau dia masih solo? Tidak apakah? Amy semakin pening. Dia sendiri pun tidak pasti apa yang dia rasa terhadap Adri. Lagi dia tidak tahu, sama ada Adri itu punya perasaan terhadapnya. Mahukah dia tahu? Dia tidak tahu jika dia mahu tahu apa yang Adri rasa.

Amy melangkah keluar dari bilik tutorial di kawasan dewan kuliah. Ketika dia menuruni tangga, dia bertembung dengan Suzanna, rakan sebilik siswazah. Mereka berdua berjalan bersama-sama ke kafeteria di tepi padang. Suzanna juga mahu ke sana.

Fez sudah siap menunggu di kafeteria. Air teh ais menjadi penghilang dahaga sambil matanya memandang ke arah sekumpulan pelajar yang bermain hoki. Terasa rindu pula dia pada hoki. Entah berapa tahun dia tidak main. Kali terakhir ialah ketika di sekolah menengah.

“Eh, dah sampai??” Fez terdengar suara Amy di belakang. Dia menoleh.

“Yup, saja sampai awal sikit. Nak avoid traffic,” jawab Fez.

“Ah, ni Suzanna, kawan akak. Buat PhD juga,” Amy memperkenalkan Suzanna kepada Fez. “Ini Fez. Su, do you mind if my friend join us as well?”

Sure not,” balas Suzanna. Suzanna dan Amy mengambil tempat duduk. Fez tersenyum. Dalam hatinya, dia tertanya, siapa yang sertai siapa sebenarnya? Tak apalah.

Fez tidak sabar-sabar sebenarnya untuk bercerita fasal Farhana, tetapi dengan adanya Suzanna di meja, sukarlah pula untuk dia bermula. Tetapi tiba-tiba Amy dengan selambanya berkata, “Ha, cepatlah cerita fasal drama baru kamu.”

Fez tersentak sedikit. Rasa segan mula terasa, tambahan lagi apabila Suzanna turut menongkat dagu menunjukkan minat mahu tahu.

Fez tertangguh sedikit. Tetapi melihatkan Amy selamba sahaja, dia gagahkan diri untuk bercerita. “Akak ingat tak Farhana?”

“Oh, yang hari tu kamu kata kamu punya type tapi tak available tu?” tanya Amy. Fez merengus. Ingatlah pula sampai begitu terperinci. Dia pun sudah lupa yang dia pernah berkata sebegitu.

“Yeah…,” Fez menarik panjang perkataan tersebut, “tapi saya tak minat dah lah kat dia.”

“Okay.”

“Dia salah faham yang saya minat kat dia dari mesej-mesej yang saya hantar. Tengok ni,” Fez mula menunjukkan mesej yang dihantarnya kepada Farhana, juga mesej balasan dari Farhana.

9.20pm From Farhana

You are welcome. Ni Fez tengah buat apa?

“Dia tanya saya, saya buat apa. Saya busy daftar student SPM waktu tu, jadi saya reply mudah sajalah.”

9.21pm To Farhana

Still daftar masuk pelajar SPM.

9.22pm From Farhana

I baru balik dari TGI Friday. Nice food there.

“Dia dah mula ajak bersembang. Tapi saya taknaklah nampak rude sangat. So saya pun balas.”

9.23pm To Farhana

Oh, tak pernah try.

9.25pm From Farhana

Kalau nak, jomlah pergi weekend ni. I ada discount voucher valid sampai Ahad ni.

“At this time, saya fikir, okay okay. Whatever. I really need to do my work! So saya kata okay ja”

9.26pm To Farhana

Oh. That would be nice:) Thanks.

9.27pm From Farhana

yw. You dah makan?

“See.. tak habis lagi tu tanya…”

9.28pm To Farhana
Yes, beli kat gerai dekat rumah.

“Dia tak sense ke yang saya punya nada dah mendatar waktu ni. Dah malas nak layan..”

She might read it in a different tone,” kata Amy. Fez berdengus lagi. Dia menyambung.

9.40pm From Farhana

Fez, can I tell you something?

“Dia dah mula dah bersembang…”

9.41pm To Farhana

Sure.

9.42pm From Farhana

I had a big fight with my bf and kami break up

“What am I supposed to say? Tak fasal-fasal kena pillow talk pula.”

9.41pm To Farhana

Aw, sorry to hear that.

9.42pm From Farhana
I feel bad of myself. Like I don’t deserved to get love.

“Dah mula nak sesi meluahkan perasaan. Seriously waktu tu saya betul-betul tengah dok buat kerja. Dok risau deadline. Tapi kena pujuk-pujuk pula.”

9.43pm To Farhana
Come on. You know you are amazing and worth of love.

9.45pm From Farhana
You think so?

9.50pm To Farhana
Yes. x

“Haha, dia salah faham kamu send kiss kah?” Amy bertanya apabila Fez memberitahu apa yang diceritakan cikgu Suffiyah. Suzanna tertawa kecil di tepi.

“Agaknyalah.”

“Ni, mesej ni kamu hantar ‘x’ lagi kenapa?” tanya Amy sambil menunjukkan mesej seterusnya.

“Akak.. waktu tu saya betul-betul dah tak layan. Just say good night ja. Terbubuh ‘x’ pula..” ujar Fez.

“Terbubuh?”

“Dulu kat UK, kawan saya Veronica tu selalu letak ‘x’ kat setiap mesej dia. Kadang-kadang saya pun terikut!” terang Fez.

“Masalahnya saya rasa kamu pun melayan sangat budak tu. Kalau kamu tak minat, kenapa kamu layan dari awal?” tiba-tiba Suzanna bersuara.

Fez terasa seperti batu besar tiba-tiba jatuh ke atas kepala. Tidak pula dia sangka akan ada bantahan dari meja mereka. Itu sebabnya tak nak cerita depan orang tak dikenali ni, fikir Fez di dalam hati.

“Saya tak nak lah diam saja. Nanti orang kata sombong,” jawab Fez sambil cuba memaniskan ayat. Kalau bukan kerana Suzanna nampak seperti kakak-kakak, dia mungkin membara sedikit.

“Kamu kena faham, perempuan-perempuan ni sensitif. Kalau kamu buat baik sedikit, banyak anggapannya,” sambung Suzanna lagi.

“I don’t have to say more, dude..” kata Amy sambil mengangkat keningnya. Dia tahu ini bukan kaedah pemikiran dia dan Fez. Bagi mereka, kalau tidak dikata, usah buat telahan sendiri. Itu sebab dia terus tunggang terbalik dengan tanda yang diberi Adri. Seperti mengorat, juga seperti hormat. Oh, ini masih cerita Fez, fikir Amy sambil kembali ke meja mereka dari terus terawang dalam khayalan. Dia tahu Fez tidak puas hati dengan kata-kata Suzanna, tetapi kata-kata Suzanna itu ada benarnya.

“Tapi…” Fez cuba mencari kata.

“Ala.. Farhana tu sukakan kamu pun masalah besar. Bagitau jer lah yang kamu tak suka..” kata Amy.

“Tapi tadi kata budak tu your type?” tanya Suzanna. Dia sudah mula masuk dalam perbincangan mereka. Tadi Suzanna hanya ralit dengan ais kacangnya.

Nah nah nah. Awal-awal kenal, nampak macam ya. Tapi kemudian, macam dia ‘depending’ sangatlah. Dalam office pun macam tu…”

“Lelaki…” Suzanna menyindir sambil melihat ke arah lain.
Sabar, sabar.. Ini orang kau tak kenal, pujuk Fez di dalam hati.

Anyway, I’ve gotta go,” ujar Suzanna. Dia lantas bangun sambil melihat ke arah jam tangannya. “Nak masak dinner dengan housemate. Kena singgah Tesco sekejap.”

“Okay, bye,” kata Amy. “Muah muah.” Mereka berciuman pipi ke pipi. Tapi bunyinya itu sengaja dibuat-buat. Fez menggeleng-gelengkan kepala. Lega juga bila Suzanna beransur pergi. Pertikaian Suzanna benar-benar buat Fez naik angin, cuma semuanya dipendam dengan baik.

Sebaik sahaja Suzanna hilang dari pandangan, Fez mahu kembali pada cerita Farhana. Dia tidak bersetuju dengan pendapat Suzanna. Dia tidak rasakan yang dia betul sepenuhnya, tapi kenapa pula mesej-mesej begitu boleh disalah ertikan sampai begitu sekali. Fez masih mahu bercakap namun Amy lantas bersuara.

“Fez, I think I’ve got a crush on my own student!”


2 responses so far

2 Responses to “17 – Dari subuh ke petang”

  1. annisaon 31 Aug 2010 at 12:59 am

    tergantung lagi… aisehhh

  2. mahiron 31 Aug 2010 at 9:15 pm

    ‘x’ yang kontroversi!

    fez oh fez

    :)

Trackback URI | Comments RSS

Leave a Reply