Dec 25 2011
52 – Nekad hati
Lama Amy sujud di atas tikar sejadah.
Walau bingit bunyi motorsikal dan kereta boleh didengar dari dalam biliknya, Amy rasa tenang. Tenang bila dia dambakan diri pada yang Esa.
Rasa bersalah tiba-tiba. Adakah dia manusia yang begitu? Hanya mula mengingati Illahi bila rasa sebak di hati? Dia berdoa agar dia bukan.
Dan istikharah yang Amy buat beri dia keyakinan pada apa yang dia mahu.
Amy bangun dari sujud dan memberikan salam. Tangannya ditadah ke langit. Dia pinta keputusan ini beri dia bahagia. Beri dia ketenangan, juga beri dia kekuatan. Biar bahagia kelak bukan setakat di dunia, tapi juga di alam selepasnya.
Amin.
Amy tanggalkan telekung dan dia lipat baik-baik dalam gulungan sejadah. Dan kakinya dihayun perlahan ke dapur.
Kopi.
Esok, dia bakal bertemu Rael. Hal-hal begini, biar sahaja dicakap berdepan. Kalau di telefon, susah pula. Mak Lang dan Pak Lang, harap mereka hormat dengan keputusan Amy. Lagipun ini yang dia mahu.
Dua perkara yang begitu utama dalam hidupnya. Rael juga pelajarannya. Banyak lagi perkara yang penting. Tapi yang lain itu tidak mendesak seperti yang dua ini.
Dan fikir Amy mudah. Kenapa perlu pilih satu daripada dua, jika dia boleh pilih kedua-duanya.
Dan itu asas keputusan Amy.
Prof Umairah sudah beritahu yang peluang begini bukan senang untuk diperoleh. Benar. Apatah lagi ke USC. Kalau hendak benar-benar buat PhD di sana, begitu banyak peperiksaan yang perlu dia ambil. Dengan GRE. Dengan TOEFLS. Kemudian, hal duit lagi perlu difikirkan. Dan ini peluang. Dan setahun itu bukan lama sangat. Prof Umairah kata, kalau dia dapat simpan sedikit duit yang bakal diberikan, boleh sahaja dia cuba cari tiket untuk pulang ke Malaysia sementara itu.
Rael. Tidak ada sangsi dalam hatinya yang mereka harus bersama. Dan biarlah dia bergegas ke Jerman untuk konferens, pulang ke Malaysia untuk berkahwin dan terbang pula ke California selama setahun buat penyelidikan. Kemudian dia bakal kembali ke Malaysia. Rael itu cinta. Dan cinta tidak akan luput biar jauh di lain benua, bukan?
Dan dalam tenang ini, dia harap Rael terima akan keputusannya. Dia mahu Rael setuju. Ini bukan tawar-menawar. Ini yang Amy mahu. Dan kali ini Amy nekad di hati. Dia tahu Rael mungkin tawar hati, Rael mungkin tidak setuju. Tapi ini yang Amy mahu.
Dan buat beberapa lama ini, dia biarkan orang kemudi hidupnya. Hari ini dia berpegang pada keyakinan di hati, dan tak akan Rael mahupun Pak Lang bisa merubah keputusannya.
“Boleh saya tanya kamu satu soalan?” kata Amy awal petang tadi. Ketika dia di kafe, seperti yang selalunya Adli muncul dan duduk sekali.
“Ya,” balas Adli dengan pinggan berisi karipap 2 ketul di depannya. Hendak dimamah tapi nampak Amy seperti mahu serius.
“Kalau kamu kena pilih antara girlfriend, dengan kerjaya, kamu pilih apa?” Amy tahu soalan ini tidak perlu ditanya pada budak mentah macam Adli, tapi bila dia yang mengaku sudah matang ini pun berbelah bahagi, mungkin minda si kecil mampu membantu.
“Kerjaya,” jawab Adli.
“Really?”
“Saya dah pernah ada girlfriend once. Rasanya dulu saya akan buat apa saja untuk dia…”
Amy terasa mahu ketawa dengar ayat sebegitu daripada Adli.
Adli sambung, “… tapi kalau girlfriend saya sayang saya, dia akan ikut dan setuju pilihan kerjaya saya.”
“Habis kalau dia nak pilih kerjaya, kamu pun pilih kerjaya? Kena berpisah?”
“Jarak jauh la agaknya…”
Amy menarik nafas dalam sambil kopi di depan mata, kembali ke masa kini. Dia tersenyum. Lama benar dia tidak begini. Rasa manis pula bila tiba-tiba kekuatan itu muncul di depan mata.
Dan mungkin dia silap. Dalam dirinya mencari sempurna, satu penamat cerita seperti Cinderella, yang akhirnya bahagia bersama orang yang dicinta. Tapi laluan hidup ini ialah fairy tale yang tak berkesudahan, bahagia itu perlu dibina sambil-sambil menempuh liku-liku hidup.
Dan dia yakin pada cinta. Mungkin Rael belum yakin pada cinta mereka yang mampu merentas masa dan dipisah lautan, dan misi Amy ialah buatkan Rael percaya. Cinta.
Kalau saya, saya nak ikut hahahaha
syabas amy~ kui3