Jan 07 2012
53 – Penatlah dengar cerita cinta kau
Penatlah dengar cerita cinta kau Amy. Penuh dengan liku-liku hidup dan masalah. Sejak hari itu lagi asyik konflik memanjang. Bila masanya gembira? Bila masanya ceria?
Penatlah dengar cerita cinta kau Amy. Umpama tabahmu itu sekadar untuk menghadapi duka di hari esok, sedang jarang sekali nampak harapan di hujung jalan.
Penatlah dengar cerita cinta kau Amy. Kerna jarang sekali dengar rasa hati kau pada sang dicinta. Yang ada hanya keluhan, rasa sedih walau tanpa air mata.
Amy paksa diri dia untuk tersenyum. Bermain-main di kepalanya kini tentang perbualan petang tadi. Dan penat. Penat membaca kisah diri sendiri. Apatah lagi kalau orang lain mendengar. Tentu lagi penat.
Tapi ini realiti. Realiti dunia bukan seperti manis-manis dalam drama. Bukan sedih-sedih kemudian pasti gembira. Realiti dunia – gembira itu mungkin tiba. Mungkin bersama si dia. Mungkin juga gembira hanya sendiri. Mungkin gembira itu memang tidak akan kunjung tiba?
Dan apa itu cinta? Amy duduk bersandar di kerusi di ruang makan. Diam tanpa bicara tapi jiwa itu serabut dengan luahan dan kata.
Mungkin aku ini sudah tua? Amy tertanya sendiri. Bukan dia lupa akan rasa itu tika awal mereka bercinta. Manis. Memang manis. Rael ini, bila pandang saja di mata, rasa tidak tenteram di jiwa. Rael ini, bila didengar suara dari hujung sana, rasa lemah di dada. Rael ini, bila nukilan ayat dihantar olehnya, rasa hati berbunga-bunga.
Kini tidak lagi. Bukan kerana cinta itu hilang. Tapi kerana kini, bila Rael di depan mata, Amy rasa bahagia. Bila dengar suaranya, Amy rasa bahagia. Bila dapat mesej darinya, Amy rasa bahagia. Rasa tenteram dan rasa selamat. Rasa masa depan itu cerah dan gemilang.
Dan biar saat tadi pun, dia masih rasa begitu. Walau dia hendak khabarkan cerita yang bakal buat Rael rasa tidak gembira, dia tidak sangsi pada cintanya terhadap Rael.
“Berapa lama?” tanya Rael. Raut wajahnya memang menunjukkan yang dia tidak puas hati.
“Setahun je…”
“Setahun??!” Rael menggelengkan kepala. “So Amy nak pergi lah ni?”
“Peluang baik tu….”
“So Amy nak pergi?”
“Ya…”
“Habis? Kahwin?”
“Kita kahwin lah. Nanti Amy boleh balik setiap 6 bulan.”
Rael menggaru-garu kepala sebelum katanya, “abang taknak kahwin dan kemudian isteri abang pergi merantau entah ke mana.”
“Dan abang tak dapat nak ikut juga,” sambung Rael. Dan Amy tahu akan hal itu. Tapi bagi Amy, setahun itu tidak lama.
“Kenapa tak habiskan sahaja PhD kat sini?” tanya Rael, cuba mencari penyelesaian.
“Ini peluang, abang,” lembut suara Amy.
Otak Rael kusut. “Setahun itu tidaklah lama… tapi…” Rael cuba mencari ayat. “Abang tak rasa abang boleh berpisah lama-lama dengan Amy.”
Amy diam. Ayat Rael itu sudah dalam jangkaan.
“Kahwin, lepas tu Amy blah.. baik tak yah kahwin…” sambung Rael.
Amy diam lagi. Mahu biar Rael tenang sedikit. Dan dia tahu cadangan ini tidak akan buat Rael semakin tenang, “kita kahwin lepas Amy balik?”
Rael pula terdiam. Dia lihat mata Amy dalam-dalam. “Amy,” panggilnya lembut. “Abang bukan nak halang Amy dari berjaya. Tapi abang betul-betul harap Amy ubah fikiran tu. Study sahaja di sini. Kita pun boleh start family.”
Amy terdiam. Banyak benar diam antara mereka sejak tadi.
“Abang,” Amy panggil lembut juga. “Amy dah buat fikiran. Amy hendak kahwin dengan abang. Tak kisahlah sebelum atau selepas Amy balik. Amy cuma hendak minta abang tunggu dan beri masa pada Amy setahun.”
“Setahun, dan kemudian Amy tak akan pergi mana-mana lagi?” tanya Rael.
Amy tidak berani berjanji. “Kalau ada peluang untuk post-doc, Amy hendak cuba juga.”
Rael terus menarik muka bengis sebaik sahaja dia dengar kata Amy. “Lagi? Jadi, sepanjang hidup abang, abang perlu tunggu Amy?”
“Bukan macam tu abang….”
“Macam tu lah. Sekarang setahun. Nanti post-doc, berapa bulan pula?”
“Setahun dua….” kata Amy berat.
“Hah?” Rael menepuk kepalanya.
Saat itu mereka berdua sunyi. Hanya dengar suara pelanggan lain di dalam Secret Recipe yang sedang berbual. Adalah dalam kurang 10 orang dalam restoran tersebut. Amy memandang keluar, terasa sebu dan terasa seperti harapan cintanya bakal musnah bila-bila masa. Rael memandang ke arah kek keju di depan mata, yang baru sahaja dimamah beberapa cubit sebelum Amy melemparkan cerita. Juga sayu. Juga kaku. Mungkin juga keliru.
Pada saat itu Rael mula menilai dengan kepala, bercampur dengan emosi dan marah, tapi cuba untuk rasional semungkin boleh. Kenapa rasa perit sangat? Ya, kerana dia sayangkan Amy. Dan kerana dia tidak mahu lepaskan Amy pergi. Dan dia sudah mula takut membayangkan yang Amy tetap akan meninggalkannya. Buat seketika, dia rasa takut. Takut akan kehilangan. Saat kemudian, dia mula rasa marah. Marah kerana mereka ini bercinta. Marah kerana impian naik pelaminnya seperti dipermainkan Amy.
Rael bangun dan menolak kerusi. Amy terkejut.
“I love you Amy,” ujar Rael sambil memandang pada Amy. “Dan kali ini, abang nak Amy yang ikut abang, kalau Amy betul-betul sayang abang.”
Dan Rael melangkah pergi. Sedih, kecewa, juga marah. Sekian lama dia mengikut Amy. Kalau benar Amy itu cinta padanya, tiba masanya Amy berkorban untuknya. Amy tersandar di kerusi sambil melihat Rael melangkah keluar kedai dan hilang dari pandangan.
Dan Amy kembali ke saat kini. Terngiang akan kata-kata Rael sebelum dia ditinggalkan seorang diri di Secret Recipe.
Amy mengeluh, ‘penatlah dengar cerita cinta kau ni, Amy’.
Drama king rael huehuehue