Jun 28 2010

8 – Pentas

Published by The Writer at 8:30 pm under Belum Ku Temu

“Mak, ni Fez letak surat kat atas meja ni!” laung Fez pada emaknya. Pintu depan terbuka seperti biasa. Entah di mana emaknya berada, dia tidak tahu.

“Surat apa?” laung emak Fez. Oh, di dapur rupanya.

“Tak aih, ni tak sat posmen hantar surat. Bil telefon dengan elektrik kot,” kata Fez sambil dia melangkah ke arah dapur dengan surat-surat di tangannya. Emaknya sedang bercangkung memarut kelapa. Fez meletakkan surat tersebut di atas para dapur.

“Ayah mana?” tanya Fez. Dia baru sampai dari sekolah. Fez tinggal sendiri di sebuah rumah berdekatan dengan sekolah. Tapi kebiasaannya dia akan pulang ke rumah orang tuanya selang beberapa hari.

“Ayah hang pi balai polis. Buat report,” kata emaknya sambil mendongak ke atas, melihat ke arah Fez.

Fez terkejut.

“Report apa?” tanya Fez.

“Orang curi lagi getah keping ngan sekerap,” kata emaknya. Tenang saja nada emaknya.

“Curi lagi??” Fez menggelengkan kepala. Rasa geram dan marah. Juga rasa kasihan. Ayahnya sudah jarang pergi menoreh. Ada orang yang diupah untuk mengusahakan ladang getah tersebut. Kalau sudah getah dicuri, upahnya masih perlu dibayar.

“Budak-budak dadah la tu Fez oi,” kata emaknya lagi. “La ni bukan duk boleh buat main, sekerap tu pun depa curi. Nanti getah keping tu nak kena pindah kat bangsal belakang rumah. Takleh dah duk buat tinggal kat kebun.”

“Bau la nanti rumah,” ujar Fez. Dia masih lagi punya rasa yang bercampur baur.

“Hmm..” emaknya membalas pendek.

“Keluar sat ya, mak,” kata Fez sambil mengambil kembali surat-surat di atas para.

“Hang nak pi mana? Baru sampai?” soal emaknya bertalu-talu.

“Fez nak pi bayar bil-bil ni sat kat pejabat pos.”

“Amik duit mak dalam gerobok tu na.”

Fez bertangguh. Dia berniat untuk untuk gunakan duitnya sendiri. Walaupun dia sudah bekerja, jarang-jarang dia berikan duit pada emak dan ayahnya. Setiap kali hendak diberi, pasti mereka menolak. Walaupun dia tahu yang kadang-kadang ayahnya punya duit yang lebih banyak dari gaji bulanannya, hasil kebun dan ladang yang diusahakan, tapi mahu jua Fez membalas budi.

“Tak pa la mak, Fez guna duit Fez,” jujur Fez memberitahu emaknya.

Tok sah! Duit hang tu hang simpan buat menikah!” teriak emak Fez dari dapur.

“Ya ya ya,” Fez akur. Apa saja mak, janji jangan masuk topik kahwin, fikir Fez. Dia mencapai sepuluh ringgit dari dalam almari di bawah helaian kain pelekat. Itu tempat simpan duit emaknya. Sepuluh cukuplah. Yang baki, dia akan guna duit sendiri. Janji dia tidak menipu. Fez tahu dia mengelat dengan diri sendiri.

Baru sahaja dia keluar rumah, Fez tersedar telefon bimbitnya bergetar. Mesej dari Kak Amy.

‘Leeya kat Penang. Dia ada shooting malam ni. Esok dia free. Join lunch?’

‘Ok. C U.’ Balasan ringkas dari Fez.

“Okay, Fez datang esok,” kata Amy. Amy menyimpan telefon bimbitnya ke dalam beg galas. Dia sekarang bersama Leeya betul-betul di depan fakultinya. Leeya datang lagi ke Pulau Pinang untuk beberapa hari.

“Akak, jom la pergi jalan-jalan. Saya bosan la akak,” ajak Leeya.

Amy menoleh ke arah Leeya. Dia ingat tadi Leeya sekadar mahu bertanya khabar apabila mahu berjumpa. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Ah, sudah terlupa pula perangai lama Leeya.

Amy menyeluk saku seluar jeansnya. Tangannya mencapai tiket di dalam poket. Niat di hati tadi mahu pergi tengok teater muzikal si Adri itu. Tapi Leeya sudah datang dari jauh. Takkan pula mahu pergi meninggalkan Leeya sendirian.
Amy berbelah bahagi.

“Akak ada benda nak buat ke?” tanya Leeya, perasan akan reaksi kurang senang dari Amy.

“Muka akak ni memang takleh menipu yek?” tanya Amy, bukan mengharapkan jawapan. Sekadar melepaskan rasa kurang senang apabila orang di sekeliling bisa membaca fikiran dari air mukanya. Dia tahu akan hal itu. Sudah banyak kali orang cakap. Sudah berpuluh kali juga Fez mentertawakannya kerana dia tidak bisa menipu dek kerana reaksi muka yang terlalu jujur mengikut hati.

“Akak nak pergi tengok teater muzikal kat panggung budaya.”

“Oh, nak ikut. Nak ikut,” jerit Leeya. Sangat teruja.

“Oh, bagus gak, akak pun ada tiket lebih,” kata Amy. Ya tak ya, kenapa dia tidak terfikir hendak ajak Leeya awal-awal tadi? Bukannya tidak ada tiket lebih. Dan bukannya dia hendak pergi date pun dengan Adri. Apakah? Kenapa perlu fikir fasal date?? Amy berkonflik dengan diri sendiri. Leeya sekadar memerhati, tahu, tapi tidak ambil peduli. Dia mencapai bedak kompak dari dalam beg tangan.

“Tapi sempat tak kamu nak pergi shooting nanti?” tanya Amy.

“Sempat jer. Akak hantar kan?” jawabnya sambil tersengih.

Amy berdengus.

***

Amy terpersona. Dialog yang sangat berkesan. Melodi yang menarik. Bukan genre lagu yang disukai, tetapi masih lagi menarik perhatian. Dan siapa sangka tarian salsa boleh diasimilisasikan dengan latar cerita Melayu. Boleh tahan juga suara si Adri ni, fikirnya.

“Kak Amy… sampai tak berkelip mata tu!” fokus Amy teralih dengan bisikan dari Leeya.

”Eh, baguslah budak-budak ini punya persembahan, ” bisik Amy kepada Leeya. Suaranya benar-benar diperlahan. Tidak mahu menganggu penonton-penonton lain.

Adegan terakhir antara hero dan heroin dilakonkan.

”Amir, selepas onak dan duri kita lalui, kau mahu kita berpisah begitu saja? ” watak utama wanita bersuara. Bunyi ombak memukul pantai dimainkan. Lampu pentas semakin malap sementara lampu sorot memancar ke arah Adri dan si heroin.

”Mira, ” panggil Adri yang melakonkan watak utama. Seruling dimainkan dengan melodi yang indah. Hati Amy benar-benar sayu, sama seperti penonton lain. Seperti penonton lain tapi mungkin bukan Leeya.

Adri membelakangi si heroin. Dia berbisik, ”kau mahu aku berbohong pada diri sendiri? ”

”Kak Amy, sempat ke tak nak hantar Padang Kota ni? ” Leeya mencelah. Dia risau akan pengambaran rancangannya yang akan bermula lagi 2 jam

Ish, menganggu konsentrasi betullah si Leeya ni, keluh Amy di dalam hati. ”Sempat..” jawab Amy sedikit geram.

”Aku…” Adri meneruskan dialognya. Mata penonton tertumpu kepada Adri. Suasana sunyi. Bunyi seruling dihentikan. Bunyi ombak diperlahankan secara beransur-ansur. Dewan sepi. Kecuali bunyi dari Leeya yang menekan-nekan telefon bimbit.

Adri melangkah ke tepi pentas, memandang jauh ke arah penonton. Mukanya kelihatan begitu sedih sekali.

”Aku…”,ulang Adri. Suaranya tersekat-sekat sambil tiba-tiba lagu rancak dimainkan sebagai latar.

Seperti mana penonton lain, Amy tertanya-tanya rahsia apakah yang disimpan oleh Amir yang tidak diketahui Mira?

Adri melangkah setapak ke hadapan. Tangannya digenggam dan didakap ke dada. Bunyi angin kedengaran. Bunyi nafasnya juga dapat didengari. Adri mengalihkan padangannya ke arah penonton. Bukan. Adri mengalihkan padangannya ke arah Amy. Betul-betul pada Amy yang duduk di barisan tengah. Amy sedikit tergamam. Pada saat itu, Adri merenung tepat ke matanya sebelum berkata…


7 responses so far

7 Responses to “8 – Pentas”

  1. mahiron 29 Jun 2010 at 11:31 pm

    sebelum berkata….?

    ada unsur suspen di situ

  2. Aishahon 30 Jun 2010 at 12:52 am

    ala kena tggu scene 8 ke…adoi..excited nak baca nih

  3. Bintangon 30 Jun 2010 at 1:24 am

    ouh geram! aah. part tengah best. haha. nice! suka! keep it up, writer! yeay! :D :D

  4. Pingu Toha yang jeleson 30 Jun 2010 at 1:32 am

    macam harammmmmmmmmmmmmmmmmm punya cliffhanger! hang memang pandai main perasaan pembaca am!!!!!!!!

    huahuahua

    seriously, hang memang ada bakat menulis.

    KEEP IT UP, BRO!!

  5. The Writeron 30 Jun 2010 at 2:06 am

    Thanks for the comments girls:P

    En Pingu, appresiasi anda sangat membakar semangat! Hehe

  6. anak singaon 30 Jun 2010 at 3:15 pm

    ades…terbantut.. berkata apa? huhu…

  7. rdnikaon 12 Jul 2010 at 11:33 pm

    wah menarik! cliffhanger ni bagus la, buat pembaca tertanya-tanya, dan akan menunggu post yang seterusnya. keep it up abg Am! :)

Trackback URI | Comments RSS

Leave a Reply