Jul 02 2010
9 – Kisah semalam
Dewan kuliah masih lagi kosong. Fez menoleh ke arah jam di dinding. Dia baru sedar yang dia begitu awal. Padanlah tiada siapa lagi yang belum sampai. Bila dia tengok jam tadi di bilik, rasanya masih elok-elok sahaja untuk bertolak ke sini. Mungkin juga jam itu salah. Atau mungkin juga dia tersalah pandang.
Fez duduk di kerusi barisan belakang. Matanya menoleh kiri dan kanan. Tiada sesiapa. Tiada apa-apa. Tidak tahu apa yang hendak dibuat. Fez mengetuk meja, saja mahu dengar bunyi bergema.
Tidak berapa lama, ada dua orang pelajar yang sampai. Agaknya urusetia untuk seminar ini kerana ada tag tergantung di leher mereka. Mereka berdua terus ke depan dewan kuliah, membuka peti yang tersimpan mikrofon. Seorang lagi menekan-nekan bebutang yang ada di sebelahnya. Fez dapat dengar bunyi gaung, tanda mikrofon sudah boleh digunakan.
Pada saat itu, dia menoleh ke belakang. Itu rasa hati. Bukan dia tahu pun yang memang ada orang sedang masuk ke dalam dewan kuliah.
Seorang pelajar perempuan melangkah masuk dengan beg berwarna jingga. Fez tersenyum. Pelajar itu membalas senyumannya. Comel. Fez kembali memandang ke hadapan. Masih tidak tahu apa yang hendak dibuat. Dan Fez tidak tahu yang gadis itu bakal mencuri tumpuannya sepanjang seminar berlangsung. Lebih dari itu, Fez tidak tahu yang gadis itu akan membuatkan dia tidak tidur lena buat beberapa semester di universiti. Dan Fez belum tahu yang gadis itu bernama Anis.
Anis.
Itu nama gadis yang Fez minati ketika di universiti sewaktu ijazah pertama. Cinta pandang pertama yang melekat di hati. Anis tidak tahu. Dan tidak siapa pun tahu kecuali rakan-rakan rapatnya. Fez tidak punya ramai kawan rapat dahulu. Sekadar Amy, Leeya dan 2 orang lagi teman sekursus.
Fez selesa bersendiri. Petang-petang dia akan berjalan di tepi tasik. Ataupun berjoging di sekitar universiti. Kemudian sebelum Maghrib, singgah berhenti di mana-mana kafeteria di kolej kediaman. Biasanya nasi goreng kampung dengan telur mata kerbau dijadikan santapan. Sos cili dituang ke atas telur mata. Biasanya Fez akan buat bentuk bulat dengan sos cili. Kadangkala dia buat tanda pangkah.
Air buah biasanya dipinta. Fez rasa hanya dia seorang sahaja yang meminta air jus oren suam. Bukan untuk jaga suara. Tapi kalau petang-petang yang panas, tambahan lagi selepas berlarian, mulalah dia mahu terasa demam jika tekak dilalu dengan ketulan ais.
Dia akan duduk benar-benar di depan televisyen. Sekurang-kurangnya tidaklah janggal sangat walaupun bersendirian. Kadangkala ada juga loner yang datang duduk di sebelah. Sepatah pun mereka tidak berbual. Itu kod tidak tertulis untuk loner, fikir Fez.
Atau dia akan duduk di kerusi di hujung kafeteria jika Amy mahu makan bersama.
“Dia pakai baju kurung hijau hari ni,” salah satu dialog biasa Fez pada Amy. “Saya nampak dia waktu lepas kelas bahasa. Dia memang akan lalu depan bilik tutorial di Unit Bahasa time time tu.”
Acuh tak acuh. Satu respon biasa dari Amy.
“Kamu ni… penat akak dengar cerita romantik kamu yang tak berkesudahan. Semester depan akak dah habis, kamu nak cerita pada siapa pula?” tanya Amy.
“Pada sayalah akak!” satu suara lantang kedengaran. Itu Leeya. Yang selalu tiba-tiba muncul di mana Amy dan Fez berada. Tahu saja si Leeya untuk mencari mereka berdua walaupun tidak diberitahu.
Leeya meletakkan buku-buku yang dibawa ke atas meja tempat Amy dan Fez makan. Bergegar meja tersebut. Amy memegang mangkuk supnya yang berkocak. Fez buat selamba.
“Haish, anak dara ni…” Amy merungut. Leeya meninggalkan mereka untuk mendapatkan makanannya.
“Kalau kamu tak tegur, macam mana dia nak tahu?” satu lagi dialog biasa dari Amy.
Fez tahu. Tapi dia tahu dia malu. Rasa malunya lebih besar dari rasa mahu.
Fez juga tidak mahu lagi ditolak. Pernah sekali dia berkenan pada rakannya di sekolah. Tapi tidak menjadi. Bertepuk sebelah tangan. Itupun Fez sudah cukup kecewa. Inikan pula Anis. Yang dia minat separuh mati. Biar dia mati dalam angan-angannya. Lama-lama hilanglah perasaan ini, pujuk Fez pada diri sendiri. Namun tiap kali Anis melintas di depan, Fez kembali jadi haru biru.
“Kalau ada jodoh, tak ke mana ye tak akak?” ujar Fez.
Amy malas hendak berdebat. Dia tahu. Fez juga tahu. Yang Anis itu akan tetap jadi Anis. Sekadar kenal pada nama, rupa serta warna baju kurung yang dipakai setiap pada hari Selasa.
Dari meja mereka dapat didengar sunyi. Dan dari situ juga meriah dengan suara. Jangan dibiarkan Leeya ketawa atau menjerit, pelajar lain di kafeteria akan memandang. Yang perempuan akan mencebik, sekurang-kurangnya di dalam hati. Meluat pada gadis itu yang terkinja-kinja. Yang lelaki terasa iri, memikirkan si manis itu Fez yang punya.
Itu cerita beberapa tahun lepas. Bila semua masih muda. Bila Fez anggap suci cinta itu bakal merubah dunia. Kini tidak lagi. Fez sudah berubah. Cuma mereka bertiga masih sama.
Bila bertiga di restoran atau kedai mamak, gelak tawa dapat didengar dari meja mereka. Cuma makcik-makcik di meja sebelah akan memandang dan menggeleng. Berdoa supaya mereka bukan bakal menantu. Tidaklah semua. Hanya beberapa orang.
“Saya ni bukannya memilih akak, dah taste saya macam tu, nak buat macam mana?” Leeya bercerita. Entah bagaimana termasuk topik itu sedangkan tadi berbual tentang teater yang ditonton semalam.
“Ala.. kamu tu memang nak yang kacak je…” kata Amy.
“Eh, taklah akak, tu anak Dato’ hari tu, mana ada handsome pun, tapi Leeya keluar juga dengan dia,” Fez mencelah.
“Weh, itu bukan datelah. Sekadar kawan je,” balas Leeya.
“Dia suka kat kau, takkan la kau tak perasan?” tanya Fez.
“Aku dah bagitau siap-siap, kalau dia nak keluar dengan aku, sebagai kawan jer, tak lebih dari tu.”
“Tapi ko tahu kan yang dia sebenarnya suka kat kau? Dan dia harap nanti bila dia treat kau elok-elok, kau terus fall for him?”
“Well, kalau dia hope macam tu, bukan la salah aku kan?”
“Janganlah keluar dengan dia kalau dah tau camtu. Kesian dia, kau bagi harapan palsu.”
“Fez, orang nak buat baik…”
Itulah mereka bertiga dari dahulu. Memang tidak habis kalau Fez dan Leeya bertikam lidah. Amy sekadar tersenyum. Sekali-sekala ketawa bila waktunya. Cuma petang ini ketawa Amy suatu kepura-puraan. Mindanya masih belum dapat melupakan babak terakhir di teater.
Saat Adri melangkah membelakangi heroin. Saat Adri benar-benar memandang ke arahnya. Saat Adri melaungkan kata-kata itu dan penonton lain memberikan respon terkejut. Terkejut mereka tidak sama dengan terkejut si Amy.
“Mastura masih hidup…”, itu kata-kata Adri dalam pementasan semalam. Siapa itu Mastura? Oh, Mastura itu watak sampingan yang muncul pada awal cerita. Tak kisahlah itu semua. Yang pentingnya, selepas saat Adri kata itu diungkap, matanya memandang tepat pada mata Amy. Ya, Amy! Bukan penonton lain di barisan tengah. Bukan juga Leeya yang berbedak tebal malam semalam. Tapi Amy!
Dan ayat Adri tidak terhenti di situ.
“… dan aku masih cintakan Mastura,” sambung Adri. Matanya tidak berkedip langsung. Suasana sunyi. Amy kaku. Entah kenapa dia tidak mampu menoleh ke arah lain.
“Aku cintakan Mastura.” Adri mengulang perkataan itu satu persatu perlahan-lahan.
Amy terus kaku. Hatinya berdebar-debar. Aku cintakan Mastura? Tertanya sama ada itu sekadar sebahagian dari drama atau Adri sedang berdrama dengannya?
saya pun tertanya2 juga…
grr
Kalu kita accept invitation nak kuar sama, namanya bg harapan palsu?..hmmm
if kita tahu (tapi buat2 tak tahu) org yang ajak kita kuar tu ada hati ngan kita. mcm bg harapan la kannnn~ kalau mcm betol2 kawan.. stakat kuar tu mcm lepak jela..boleh berhu-ha-hu-ha hehe